Diet101: Makanan Kultur Baik Untuk Kesihatan

 

Makanan kultur bukan sesuatu yang aneh pada rakyat Malaysia. Malah, negara kita sememangnya unik kerana setiap kaum di Malaysia ada makanan kultur yang popular.

Cuma mungkin kita lebih biasa dengan istilah tapai atau jeruk atau awet berbanding dengan kultur.

Namun ianya membawa maksud yang sama – Ia adalah proses pemecahan bahan kompleks kepada bahan yang lebih ringkas dengan bantuan bakteria, yis atau fungi.

Bagi orang Melayu, kita dah biasa dengan budu, cencaluk, tempe, jeruk buah dan pelbagai lagi.

Orang Cina pula dengan sawi jeruk, taucu dan lobak masin.

Bagi kaum India popular dengan tairu dan dadih.

 

Contoh Makanan Kultur

Contoh Makanan Kultur

 

Namun, semakin lama semakin popular dan semakin trending pula makanan kultur atau fermented food ini.

Semuanya disebabkan manfaat kesihatan yang berlipat ganda yang datang bersamanya.

Dan apabila blogger makanan mula menghidangkan pembaca dengan pelbagai resepi jeruk dari seluruh dunia yang terkenal seperti kimchi (Korea), sup miso (Jepun) dan sauerkraut (German) maka viral lah dan jadilah ia makanan universal.

 

Makanan Kultur Yang Semakin Popular

Makanan Kultur Yang Semakin Popular

 

Jadi saya ingin sarankan agar kita mengkultur makanan dan menjadikan ia menu harian untuk keluarga kerana ia adalah makanan kesihatan.

 

Apakah Makanan Kultur Dan Manfaatnya?

Ini adalah kategori makanan kesihatan yang mesra usus, berasa masam, sedap dan sangat digemari oleh sesetengah orang. Makanan ini semakin mendapat tempat dalam menu harian malah dalam perawatan wajah juga. Pun begitu masih ramai yang tidak tahu kelebihannya.

1. Semasa proses penapaian, makanan ini mengawet secara semulajadi dengan bantuan bakteria. Bakteria baik ini menukar gula dan kanji yang ada pada makanan tadi menjadi asid lactic yang merupakan pengawet semulajadi.

2. Bakteria yang di panggil probiotik itu tadi adalah sangat baik untuk kesihatan usus dan seluruh badan umumnya. Bukan sahaja makanan tersebut mudah dihadam, malah ia juga mengandungi enzim yang membantu menghadamkan makanan lain dengan lebih sempurna.

3. Kultur probiotik yang hidup secara koloni di sepanjang usus itu akan membantu penghadaman dan memperkuatkan sistem immunisasi badan.

4. Malah, proses pengkulturan juga menambah keupayaan tubuh untuk menyerap nutrisi dari makanan lain dengan lebih berkesan.

Makanan kultur pada saya sangat bersifat budaya. Jika kena dengan selera, memang ketagihan dan membuatkan kita teringat-ingatkannya. Pun begitu,makanan dari negara lain seperti kimchi semakin digemari rakyat Malaysia.

Apapun, cubalah mengkultur makanan pilihan anda sendiri. Mengkultur makanan sendiri memang mudah dan jimat.

Adakah anda peminat makanan kultur? Yang mana satu kegemaran anda? Kongsikan di ruangan komen..

Terima kasih kerana sudi baca. Semoga bermanfaat